“Rumah Baru” – Hamzah Beri Bayangan Langkah Seterusnya

KUALA LUMPUR: Kurang 24 jam selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin tampil dengan nada tegas bahawa beliau tidak akan bertindak bersendirian dalam menentukan hala tuju politiknya.

Bekas Timbalan Presiden parti itu menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk menyertai parti lain akan dibuat secara kolektif bersama barisan kepimpinan yang sealiran dengannya.

Buat masa ini, Hamzah memilih untuk kekal sebagai Ahli Parlimen bebas walaupun memegang jawatan Ketua Pembangkang, sehingga satu keputusan muktamad dicapai.

Dalam sidang media selepas sesi Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik di PAUM, beliau memberi bayangan jelas bahawa langkah politik baharu sedang dirancang.

Menurutnya, “rumah baharu” yang dimaksudkan boleh jadi parti lama atau parti baharu asalkan menjadi wadah perjuangan yang diyakini.

Hamzah juga tidak menolak kemungkinan kembali ke UMNO atau PAS.

Malah, beliau turut mengulas spekulasi mengenai kemungkinan mengambil alih Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

“Semua itu pilihan yang ada. Betul atau tidak, ia akan dipertimbangkan,” katanya ringkas.

Lebih menarik, Hamzah mendedahkan bahawa daripada 25 Ahli Parlimen yang dikaitkan dengannya, seramai 19 masih bersamanya adalah satu angka yang dianggap majoriti signifikan.

Beliau menegaskan keputusan masa depan tidak akan dibuat secara solo, sebaliknya melalui perbincangan bersama rakan-rakan seperjuangan.

Mengulas dakwaan bahawa gerakannya bertujuan menubuhkan parti baharu atau mengejar jawatan Presiden, Hamzah menafikan spekulasi tersebut.

Katanya, ajakan kepada rakan-rakan Ahli Parlimen bukan untuk membina empayar politik baharu, tetapi demi meneruskan perjuangan yang dianggap lebih penting untuk masa depan negara.

“Tak semestinya yang sokong saya perlu sertai saya. Sekarang saya bebas, tetapi sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen Perikatan Nasional tetap ada,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles