Rosmah Lepas Dan Bebas 17 Pertuduhan Pengubahan Wang Haram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi memutuskan untuk melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu mempunyai merit kerana pertuduhan tidak menyatakan elemen penting kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Rosmah.

“Tanpa menyatakan secara spesifik transaksi yang dilakukan, bagaimana untuk mengaitkan tertuduh dengan kesalahan yang dilakukannya? Selain itu wujud pertindihan pada pertuduhan,” demikian menurut penghakiman yang dibacakan Hakim Muniandy.

Mahkamah selesai mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 12 November lalu dalam permohonan Rosmah untuk menggugurkan kesemua 17 pertuduhan terhadapnya.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

BBerkaitan

Latest articles