KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap Pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Rosli Abdul Jabar, berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam satu ceramah di Felda Sungai Koyan, Lipis, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, AMK Pahang menegaskan kenyataan Rosli yang menyebut “Kepala Agong ke kepala PMX” merupakan penghinaan jelas terhadap institusi diraja serta mencerminkan sikap biadab seorang wakil rakyat.
“Ucapan itu bukan sahaja tidak beradab, malah menghina sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kedaulatan negara,” kata Ketua Penerangan AMK Pahang, Ahmad Hyecal Othman.
Beliau menegaskan, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin politik, Rosli sepatutnya menunjukkan contoh teladan serta menjaga tutur kata, bukannya mempermainkan simbol kedaulatan negara demi kepentingan politik sempit.
AMK turut memberi amaran bahawa kenyataan itu mengandungi unsur 3R (Raja, Kaum dan Agama) yang boleh menggugat ketenteraman awam serta melanggar undang-undang sedia ada termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
“Kami menyeru pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk segera menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap YB Rosli Abdul Jabar,” katanya.
Menurut Ahmad Hyecal, AMK Pahang berdiri teguh mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung perpaduan dan kestabilan negara, sambil menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Beliau turut mendesak agar Rosli memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan khususnya kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Kegagalan berbuat demikian hanya membuktikan budaya politik kebencian dan biadab masih berakar dalam kepimpinan PAS,” ujarnya.
AMK menegaskan, rakyat khususnya golongan muda menolak politik fitnah, ekstrem dan tidak berakhlak yang hanya memecah-belahkan masyarakat serta menjejaskan kemajuan negara.