Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada semalam mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang permohonan pendaftaran parti baru oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
LHDN Serbu Kediaman Wakil Rakyat Parti Warisan Sabah
Unit Komunikasi JPPM berkata demikian sebagai reaksi terhadap isu tersebut yang tular di media sosial dalam beberapa tempoh ini, selain turut menerima semakan daripada agensi media untuk mendapatkan kesahihan sama ada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mahu menubuhkan parti baru.
“JPPM menerima beberapa pertanyaan daripada pihak media bagi mendapatkan pengesahan mengenai permohonan penubuhan parti politik baharu oleh Mohamed Azmin.
“Merujuk kepada laporan media bertarikh 8 Julai lalu bahawa Mohamed Azmin mengemukakan permohonan bagi menubuhkan parti politik baharu.
“Berdasarkan semakan hasilnya mendapati jabatan tidak pernah menerima sebarang dokumen permohonan menubuhkan parti politik baharu oleh Mohamed Azmin seperti ditularkan.
Oleh demikian kenyataan mengenai permohonan pendaftaran parti tersebut ke JPPM adalah tidak benar,” demikian menurut kenyataan media unit berkenaan.
Sejak kebelakangan tular di media sosial bahawa bekas timbalan presiden PKR itu akan menubuhkan parti baru selepas keluar dari parti lama dan menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).
Azmin pada dua hari lalu menafikan khabar angin berkenaan selain mendakwa tidak pernah mengemukakan apa-apa permohonan untuk mendaftar parti baru.