Ronaldo Bakal Kembali Ke United?

DUBAI: Cristiano Ronaldo berkata dia mungkin akan kembali ke Old Trafford buat kali ketiga, tetapi kali ini sebagai pemilik Manchester United.

Ronaldo, 39, mendakwa dia mampu memperbaiki bekas kelab yang disayanginya, Man United yang kini dalam keadaan tenat.

Dia turut mempertahankan rakan senegara Portugal, Ruben Amorim dengan menegaskan pengendali itu tidak patut dipersalahkan dengan apa yang berlaku di Old Trafford ketika ini.

Amorim mula merasai tekanan selepas United tergelincir ke tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris apabila tewas 2-0 di Wolves, tetapi Ronaldo berkata dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk membangkitkan bekas kelabnya itu.

“Liga Perdana Inggeris adalah liga paling sukar di dunia. Semua pasukan bagus, semua pasukan berjuang dan bersaing sengit. Bola sepak berbeza di sana. Tidak ada perlawanan yang mudah.

“Bagi saya, masalahnya ialah bukan jurulatih. Saya sentiasa berikan contoh ini, ia seperti akuarium.

“Jika anda ada ikan yang sakit di dalamnya, anda keluarkan ia dan atasi masalahnya, kemudian masukkan ia semula di dalam akuarium, ia akan sakit semula.

“Masalah Manchester United begitu juga. Masalahnya bukan kerana jurulatih. Ia jauh lebih daripada itu.

“Jika saya menjadi pemilik kelab, saya akan menjernihkan keadaan dan memperbaiki masalah di sana,” kata Ronaldo di majlis Anugerah Bolasepak Dubai.

Ronaldo sebelum ini lantang mengkritik keluarga Glazer yang memiliki United sejak tahun 2005.

Menurut Ronaldo, Joel dan Avram Glazer tidak mempedulikan kelab dan hanya memikirkan soal keuntungan.

“Pemilik kelab, keluarga Glazers, mereka tidak mempedulikan kelab ini. Mereka akan mendapat keuntungan daripada pemasaran – daripada segi sukan, mereka tidak peduli,” katanya. – AGENSI

BBerkaitan

Latest articles