Ahli Perniagaan China Tipu Mahkamah, Tuduh Defenden Ambil RM50 Ribu Miliknya – Dzulkifli

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan warga China, Kun Gao, didakwa menipu dalam keterangannya di mahkamah sesyen di sini, hari ini berhubung kes rompakan bernilai RM1 juta melibatkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan bekas pegawai agensi itu.

Peguam bela kepada dua pegawai dan bekas pegawai agensi itu, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata ahli perniagaan berkenaan tidak memaklumkan mengenai kehilangan wang RM50,000 dalam laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Namun, ketika disoal balas oleh peguam dalam prosiding semalam, Gao memberitahu mahkamah wang tersebut telah diambil oleh tiga pegawai itu.

Dzulkifli juga memaklumkan dalam saman sivil yang difailkan oleh Gao terhadap tertuduh, jumlah wang yang didakwa diambil adalah RM200,000.

Dzulkifli berkata, kenyataan tersebut jelas bercanggah, dan beliau beranggapan Gao mereka-reka cerita mengenai kehilangan RM50,000 itu.

“Saya katakan kepada kamu bahawa keterangan kamu dalam mahkamah ini adalah tidak benar dan berbohong serta tiada wang sebanyak RM50,000 atau RM200,000 yang telah diambil oleh ketiga-tiga tertuduh,” soal Dzulkifli ketika prosiding soal balas di Mahkamah Sesyen hari ini.

Bagaimanapun, Gao menegaskan dia tidak berbohong kepada mahkamah dan mempertahankan dakwaan wang RM50,000 itu diambil oleh ketiga pegawai itu.

Pada 21 Mei 2024, Gao melalui Guok Partnership telah memfailkan saman sivil terhadap ketiga-tiga tertuduh susulan insiden itu.

Dzulkifli turut bertanya sama ada jumlah RM50,000 atau RM200,000 itu dianggap besar bagi Gao, namun dia menjawab jumlah itu kecil baginya.

Apabila ditanya apakah jumlah yang dianggap besar, Gao enggan menjawab dengan alasan mahkamah tidak layak untuk mengetahui perkara itu, sambil berkata“Not your level to know.”

“Tadi, ketika ditanya sama ada jumlah RM50,000 ini besar bagi kamu, kamu menjawab jumlah itu kecil, begitu juga dengan jumlah RM200,000. Jadi, berapa jumlah besar bagi kamu?” soal Dzulkifli.

“Not your level to know. Saya tidak mahu jawab sebab ini bukan kelas kamu yang kamu boleh faham,” jawab Gao melalui jurubahasa.

Bagaimanapun, Hakim Izralizam Sanusi menegaskan Gao perlu menjawab soalan itu kepada mahkamah.

“USD10 juta adalah jumlah yang dianggap besar oleh saya,” jawab Gao.

Dalam prosiding hari ini, Dzulkifli turut mencadangkan agar Guok Ngek Seong, peguam pemerhati yang mewakili Gao mempertimbangkan semula kedudukannya dalam kes ini berikutan terdapat potensi konflik kepentingan.

“Yang Arif, saya ingin mencadangkan atau menasihatkan rakan bijaksana saya (peguam pemerhati mangsa) agar menilai semula kedudukannya sebagai peguam pemerhati kerana terdapat konflik kepentingan dalam kes ini,” cadang Dzulkifli.

Cadangan itu dibuat susulan perbezaan ketara dalam keterangan Gao berkaitan jumlah wang yang didakwa diambil tiga pegawai itu.

Defendan diwakili peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Ravichandaran Selliah manakala Timbalan Pendakwa Raya ialah Izalina Abdullah.

Terdahulu, TRI melaporkan bahawa pada 13 Disember 2023, dua pegawai SPRM dan seorang bekas pegawai agensi itu mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas pertuduhan merompak seorang ahli perniagaan warga China, melibatkan hampir RM1 juta di sebuah residensi mewah.

Muhamad Haffiz Mohd Radzi, 33, Mohd Fahmee Mohamad Nor, 41, dan Azwan Asli, 38, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi dan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles