Rombakan Kabinet mungkin dibincang dengan Agong – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan akan membincangkan mengenai rombakan Kabinet dalam pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, rombakan tersebut ketika ini tidak terlalu mendesak kerana terdapat satu kekosongan jawatan menteri Kabinet yang perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“(Pertemuan dengan) Yang di-Pertuan Agong ini, saya memang buat mingguan (menghadap).

“(Rombakan kabinet?) Mungkin la, mungkin saya terfikir. Tak mendesak sangat sebab yang kosong satu.

“Saya dah minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh memberikan perhatian,” katanya ketika ditemui meedia selepas melancarkan Sambutan Ulangtahun ke-60 Lembaga Tabung Haji di Menara Tabung Haji, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai desas desus mengenai rombakan Kabinet yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, kemungkinan berlaku rombakan Kabinet melibatkan beberapa kementerian serta dakwaan rombakan itu hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada 7 Oktober depan.

BBerkaitan

Latest articles