Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata sebarang tindakan termasuk rombakan terhadap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh akan diputuskan selepas kesemua siasatan berkenaan kes perjudian haram, selesai.
“Siasatan telah dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sejak awal lagi iaitu sebelum perkara ini tular dan setakat ini tiada anggota polis yang ditahan.
”Setelah siasatan selesai baru pihak polis akan putuskan apa tindakan yang akan dibuat, beri sedikit masa dan saya beri jaminan tidak akan melengah-lengahkan kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman, semalam.
Reaksi itu menyusul selepas Abdul Hamid ditanya jika pihaknya bersedia melakukan rombakan di IPD Sungai Buloh susulan wujudnya dakwaan pegawai dan anggota polis terlibat melindungi premis judi di sana.
Beliau juga menggesa masyarakat untuk terus melaporkan maklumat jenayah terus kepada pihak berkuasa dan identiti si pengadu akan dirahsiakan.
“Jika saya dapat tahu ada pegawai atau anggota polis yang mendedahkan identiti pemberi maklumat kes jenayah, saya akan ambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan terus,” katanya.
Abdul Hamid juga menafikan tuduhan bahawa Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar tidak mengambil tindakan susulan terdapat kegiatan perjudian di daerah itu.
Isu premis perjudian di Sungai Buloh menjadi hangat susulan dakwaan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap premis sedemikian.