KUALA LUMPUR: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa hari ini menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menjadi sebahagian daripada konspirasi penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Roger, yang hadir sebagai saksi pembelaan ke-25 dalam perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berkata beliau tidak mempercayai Najib terlibat dalam konspirasi bersama ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low, dan bekas rakan sekerjanya, Tim Leissner.
Dalam keterangannya, Roger menyatakan bahawa pembelaan beliau dalam kes yang dihadapinya di Amerika Syarikat telah memperincikan bahawa beliau bukan konspirator, sebaliknya menyalahkan sepenuhnya Leissner dan Jho Low atas manipulasi serta penyelewengan dana 1MDB.
“Ya, saya ada mengangkat ‘red flag’ terhadap Jho Low ketika masih bersama Goldman Sachs,” ujar Roger ketika menjawab soalan daripada peguam utama pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Muhammad Shafee juga mendedahkan bahawa Roger pernah mengeluarkan amaran awal kepada pihak pengurusan Goldman Sachs tentang pengaruh luar biasa Jho Low dalam urusan melibatkan 1MDB, dan telah mencadangkan siasatan dalaman terhadap latar belakang ahli perniagaan tersebut.
Bagaimanapun, Roger menyatakan beliau tidak dapat mengulas lanjut sama ada pihak bank mengambil tindakan susulan kerana tertakluk kepada perintah perlindungan mahkamah di New York.
Menurut Roger lagi, Jho Low merupakan individu yang mula mendekatinya pada sekitar tahun 2009 untuk membuka jalan kepada penglibatan Goldman Sachs dalam pelaburan strategik bersama 1MDB.
Dalam proses tersebut, banyak keputusan penting dibuat tanpa pengetahuan penuh pihak pengurusan atasan bank dan didorong oleh hubungan rapat Jho Low dengan tokoh-tokoh politik Malaysia.
Roger sekali lagi menafikan sebarang bentuk konspirasi yang melibatkan dirinya dengan Najib, sambil menyatakan bahawa Leissner yang telah mengaku bersalah di mahkamah AS adalah individu utama yang membantu dan melaksanakan perancangan Jho Low dari dalam struktur Goldman Sachs.
Perbicaraan hari ini turut dimaklumkan bahawa Roger kini sedang menunggu keputusan rayuan terhadap sabitannya di Amerika Syarikat berhubung tiga pertuduhan berkaitan penggubahan wang haram dan penipuan.
Beliau sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Persekutuan AS di Brooklyn, New York pada 2023.
Roger telah diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk membantu siasatan berhubung kes 1MDB dan dijangka dihantar semula ke AS bagi menjalani hukuman penjara selepas siasatan di negara ini selesai.