RMK12: Sektor Swasta Perlu Sama Gembleng Usaha Tingkat Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR: Dalam usaha membangunkan semula ekonomi negara, kerajaan memberi jaminan untuk mengurangkan kerenah birokrasi terhadap sektor swasta, selain diberikan peranan yanb lebih besar.

Menerusi Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan menyediakan infrastruktur berkualiti dan berdaya harap, memperkukuhkan ekosistem yang menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir.

Menurut Perdana Menteri juga, di peringkat awal, fokus akan diberikan kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.

Ini merangkumi industri yang strategik dan berimpak tinggi, iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan.

Tambah Ismail Sabri, transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan diperkasa.

Begitu juga dengan pertumbuhan sektor perkhidmatan yang akan disokong oleh strategi pemodenan sektor untuk menjadi hab perkhidmatan serantau.

Katanya, dasar perundangan yang jelas serta persekitaran perniagaan yang kondusif akan diwujudkan bagi menggalakkan lagi pelaburan yang berkualiti.

Sementara itu, menyentuh Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), Perdana Menteru memaklumkan bahawa sektor pembuatan dijangka beralih kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan industri Malaysia menjadi pemain penting dalam rantaian nilai global.

Manakala sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara dan sektor pembinaan akan dirancakkan dengan penggunaan teknologi termaju, merangkumi realiti terimbuh dan realiti maya sejajar dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 bagi meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti.

Begitu juga dengan sektor perlombongan, yang memberi penekanan kepada pengeluaran mineral diproses yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, aktiviti perlombongan yang lestari dan penghasilan bahan mineral baharu.

Berkenaan pertumbuhan produktiviti pula, ia mampu dilonjakkan menerusi aktiviti penyelidikan dan inovasi, penggunaan teknologi termaju, di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh kurang mahir.

Dalam usaha merancakkan perdagangan

antarabangsa, menurut Ismail Sabri, sektor berkenaan boleh diperkukuhkan dengan mengenal pasti pasaran dan produk baharu, menambah baik kecekapan fasilitasi perdagangan dan meningkatkan daya saing industri eksport utama.

Untuk mencapai tujuan itu, maka, kerjasama perdagangan akan digalakkan melalui ratifikasi perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Tambah beliau, Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) akan dijadikan kerangka utama bagi menarik pelaburan berkualiti dan meletakkan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini