More

    RMK12: Kerajaan Pelbagaikan Usaha Bantu Bumiputera

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan agenda Bumiputera akan sentiasa diutamakan, antaranya dengan meningkatkan daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

    Menerusi pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini, beliau berkata pencapaian itu akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu.

    “Program berkenaan termasuk Dana Kemakmuran Bumiputera untuk syarikat Bumiputera; Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk kontraktor Bumiputera; penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi bidang ekonomi digital serta industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi,” katanya.

    Ujar Ismail Sabri, hal ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

    Sehubungan itu kesemua agenda berkenaan akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar di segenap peringkat melalui pembabitan semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta.

    “Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi, akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan termasuk huffaz akan diperkukuh.

    “Antaranya melalui inisiatif latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya menjadi pakar dalam pelbagai bidang, selain kemahiran untuk kerjasama masa depan seperti penganalisis dan saintis data serta pakar data raya,” katanya.

    Sementara itu, dalam membantu meningkatkan kekayaan Bumiputera, dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman Bumiputera, Perdana Menteri menjelaskan bahawa ia akan diperkukuh melalui kerjasama lebih erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Ini termasuklah menerusi bantuan kewangan, bimbingan dan permentoran oleh institusi kewangan juga akan diperluas bagi menyokong usahawan Bumiputera.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini