RM5 bilion selenggara kerosakan banjir – PM

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan telah menambah baik pem­berian dan sokongan kepada kerajaan negeri pada tahun ini termasuk memberi kelonggaran tambahan dalam penggunaan peruntukan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri (Marris) sebanyak RM5 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi membiayai kerja-kerja pe­nye­leng­garaan, pembaikan, peng­gantian dan pengubahsuaian ja­­­­lan, jambatan, longkang, pem­bentung serta cerun yang rosak akibat banjir.

Katanya, Kerajaan Persekutuan amat prihatin ke atas situasi dihadapi oleh negeri-negeri ketika pasca banjir Monsun Timur Laut yang berlaku sebelum ini.

“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk mengkaji semula pemberian Marris supaya peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan memperluaskan lagi skop perbelanjaan Marris untuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian negeri.

“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan Pemberian Marris,” katanya dalam kenyataan semalam.

Perkara itu merupakan hasil perbincangan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Ismail Sabri dan dihadiri Menteri Besar serta wakil Ketua Menteri dari semua negeri bertujuan untuk menambahbaik pemberian dan sokongan kepada negeri pada tahun ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, peruntukan pindahan fiskal ekologi dipertingkat daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

Beliau menjelaskan, insentif kewangan kepada kerajaan-kerajaan negeri itu adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin serta diberi sama insentif kewangan.

Selain itu, katanya, caruman RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup atau Tahap.

“Jawatankuasa akan ditubuhkan dengan dipengerusikan Ke­tua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semula formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi Pemberian Tahap.

“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing,” ujar beliau.

Menurut Perdana Menteri, semua langkah itu bagi memperkukuhkan lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia apabila Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

Katanya, hasrat itu dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri pada setiap tahun.

“Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan berharap pemberian-pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri terutamanya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles