RM4.7 Bilion Diperuntuk Projek Tebatan Banjir Selangor

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan persekutuan akan menyegerakan projek-projek bagi memastikan kejadian banjir buruk yang pernah melanda Selangor tidak akan berulang.

Ia melibatkan lima projek tebatan banjir melibatkan peruntukan sebanyak RM4. 7 bilion.

“Usaha ini akan disegerakan bagi mengelak kejadian banjir teruk yang menjejaskan kesejahteraan penduduk, ekonomi negeri dan negara berulang lagi,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Selangor di Tapak Karnival, Perkarangan Stadium Shah Alam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil langkah proaktif merancang pendekatan baharu termasuk pembinaan infrastruktur yang sesuai di negeri tersebut.

Jelas Ismail Sabri, ini termasuk menyediakan perumahan kepada Keluarga Malaysia, terutama kumpulan B40 dan M40, terus menjadi agenda penting Kerajaan.

“Suka saya maklumkan, selaras dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah, sebanyak 14,329 buah rumah di negeri Selangor siap dibina sehingga bulan Jun 2022 di bawah pelbagai program perumahan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM),” tambah beliau.

Terdahulu katanya, sebanyak RM6.3 bilion peruntukan telah diluluskan Kerajaan bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor, di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

BBerkaitan

Latest articles