PALONG – EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap ADUN Palong, Dato’ Hj Mustapa Nagoor atau lebih dikenali sebagai Pak Mus meluangkan masa berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Masjid FELDA Palong 6 dalam suasana penuh sederhana dan penuh keberkatan.
Beliau menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang bersama warga FELDA Palong 6 dan menyifatkan momen berbuka bersama masyarakat sebagai peluang penting untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Menurut beliau, majlis berbuka seperti itu bukan sekadar menikmati juadah, tetapi menjadi ruang untuk duduk semeja, bertanya khabar serta mendengar sendiri pandangan, cerita dan harapan masyarakat.
“Di sinilah kekuatan sebenar komuniti apabila pemimpin dan masyarakat dapat bertemu secara langsung tanpa sebarang jurang,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Pak Mus turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM37,600 kepada golongan yang memerlukan.
Sumbangan tersebut merangkumi bantuan kepada warga emas, asnaf, golongan orang kurang upaya (OKU) serta bantuan khas kepada pelajar dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
Beliau berharap sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban penerima serta membawa kegembiraan kepada mereka sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Pak Mus, Ramadan bukan sahaja bulan untuk memperbanyakkan ibadah, tetapi juga masa terbaik untuk memperkukuh ukhuwah dan memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan kepedulian terhadap masyarakat perlu terus diperkasakan agar tiada golongan yang tercicir daripada perhatian.










