JEMPOL – Program Jelajah Ihya’ Ramadan Ehsan Group Of Companies yang berlangsung di Masjid Nur Hidayah, FELDA Palong 12 dan 13 berjaya menyantuni masyarakat setempat melalui penyampaian pelbagai sumbangan kebajikan sempena Aidilfitri.
Program yang memasuki tahun ke-9 penganjurannya di Palong itu bertujuan membantu golongan memerlukan khususnya anak yatim, ibu tunggal dan warga emas di kawasan berkenaan.
Sebanyak RM34,200 jumlah keseluruhan sumbangan telah disalurkan kepada penerima yang layak, merangkumi bantuan Aidilfitri serta sumbangan kepada Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
Dalam majlis tersebut, seramai 100 orang anak yatim serta 100 orang ibu tunggal menerima sumbangan berupa wang tunai dan beras yang disampaikan oleh Dato’ Haji Abdul Hamid P.V Abdu bersama isteri.
Turut disampaikan dalam majlis itu ialah Sumbangan Aspirasi Warga Emas kepada 100 orang warga emas sekitar FELDA Palong 12 dan 13.
Selain itu, 50 orang anak yatim serta pelajar pendidikan khas dari PPDK turut menerima bantuan sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Program kebajikan tersebut turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Mustapha Nagoor, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap ADUN Kawasan Palong serta ADUN Angkat DUN Serting.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Ehsan Group atas komitmen berterusan dalam menjayakan program kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban penerima, malah memperkukuh semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam kalangan komuniti, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Program tersebut diharap dapat terus diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha menyemarakkan nilai kemasyarakatan dan solidariti dalam kalangan masyarakat FELDA Palong.










