RM30 Juta Diperuntuk Bantu Media Tempatan Hadapi Era AI – Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi membantu organisasi media tempatan dalam melaksanakan transformasi digital dan meningkatkan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan kandungan kewartawanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu bertujuan memastikan industri media negara terus relevan dan tidak tercicir daripada arus perkembangan pesat teknologi, termasuk Kecerdasan Buatan (AI).

“Saya bertanggungjawab memastikan mutu dan keupayaan kewartawanan negara terus dipertingkat, khususnya dalam melahirkan wartawan muda yang berdaya saing.

“Atas perbincangan bersama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, saya bersetuju menyalurkan dana besar bagi membantu organisasi media negara melaksanakan transformasi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Majlis tahunan itu bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’ dan menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, khususnya dari rantau ASEAN.

Menurut Anwar, dana tersebut akan digunakan untuk latihan, pembangunan kemahiran dan pendedahan teknologi terkini, khususnya kepada wartawan muda agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan lanskap media baharu yang semakin kompleks.

“Transformasi digital tidak boleh berlaku tanpa pelaburan dalam sumber manusia. Kita mahu wartawan bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga kekal berpegang kepada etika dan tanggungjawab sosial,” tegasnya.

Dalam ucapan yang sama, Perdana Menteri turut menegaskan kepentingan mengekalkan keseimbangan antara penggunaan teknologi dan prinsip kewartawanan beretika.

Beliau mengakui kemajuan AI memberi pelbagai cabaran kepada industri media, termasuk ancaman penyebaran maklumat palsu, deepfake dan automasi kandungan, namun menekankan bahawa nilai-nilai asas seperti kebenaran, keadilan dan integriti tidak boleh dikompromi.

“Perubahan perlu berlaku, tetapi ia mesti disertai dengan nilai kemanusiaan sejagat,” tambahnya.

Sumbangan dana tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa media sebagai rakan pembangunan negara, serta mengiktiraf peranan penting wartawan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

BBerkaitan

Latest articles