PAPAR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM272.1 juta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk manfaat seramai 797,000 penerima yang layak dari golongan miskin dan miskin tegar di negeri Sabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan dengan itu, Anwar menyeru kepada pegawai daerah Papar supaya memastikan semua yang layak mendapat STR dan Insentif Pendapatan Rakyat (IPR) di daerah ini didaftarkan dan diagihkan dengan kadar segera.
“Untuk golongan miskin dan miskin tegar kita ada Sumbangan Tunai Rahmah bantuan kebajikan masyarakat bagi negeri Sabah kita ada 797,000 penerima membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM272.1 juta.
“Ada beberapa projek lain kita dapat segerakan tapi untuk warga Papar adalah STR dan IPR, urusan itu pegawai daerah yang daftarkan dan pastikan semua yang layak mendapat sumbangan berkenaan dengan kadar segera.
“Saya harap supaya kawan-kawan kita yang susah di Papar mendapat manfaat itu, di sini juga kepada wakil rakyat Armizan dan ADUN, saya percaya mereka akan membantu rakyat dan memastikan jika ada apa-apa masalah untuk dapat diberi perhatian dan menoktahkan kemiskinan tegar khususnya di daerah Papar ini,” tegasnya semasa berucap pada Program Semarak Perpaduan Rakyat Bersempena Sesi Ramah Mesra Bersama Paparian di Tapak Bazar Palm Square, Kinarut dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan dan meluluskan projek baharu Papar iaitu projek Pembinaan Jalanraya By-pass Pengalat – Papar yang menelan kos RM538 juta.
“Manakala di pekan Kinarut, permohonan baharu Ahli Parlimen Papar (Armizan) melalui Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan untuk projek naik taraf perparitan dari pekan Kinarut sampai Taman Sungai Wang dan naik taraf jalanraya Taman Limauan hingga Kampung Anak Somboi kita teruskan,” katanya.