KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi memperkasa pembangunan seni mempertahankan diri negara, sekali gus mengiktiraf peranannya sebagai warisan bangsa, elemen pembinaan jati diri serta benteng pertahanan ketiga negara.
Peruntukan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disalurkan kepada Pertubuhan Lima Generasi Malaysia sebagai sokongan strategik memperkukuh ekosistem seni tempur tanah air.
Pertubuhan Lima Generasi Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, dana berkenaan akan dimanfaatkan secara berfokus dan berimpak tinggi meliputi pembangunan atlet dan jurulatih, penambahbaikan kemudahan latihan, penganjuran kejohanan serta usaha memperluas promosi seni mempertahankan diri tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Pengasas dan Presiden pertubuhan itu, Datuk Abdullah Ghani Kassim berkata, peruntukan tersebut menjadi pemangkin penting bagi melaksanakan program pembangunan secara lebih tersusun dan profesional.
Menurut beliau, dana itu akan digunakan untuk menaik taraf prasarana latihan, penyediaan peralatan asas, peluasan kapasiti gelanggang serta memperkukuh laluan pembangunan atlet dengan sasaran melahirkan pesilat dan atlet tempur bertaraf dunia secara berperingkat.
“Kepercayaan kerajaan ini membolehkan kami merancang pembangunan jangka panjang dengan lebih sistematik demi kelangsungan dan kecemerlangan seni mempertahankan diri negara,” katanya.
Sementara itu, Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan malam tadi menjadi manifestasi awal pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Majlis penganjuran sulung Pertubuhan Lima Generasi Malaysia itu tercetus daripada Himpunan Pendekar sempena sambutan Hari Malaysia tahun lalu dan direalisasikan melalui sokongan dana khas Perdana Menteri.
Pertubuhan berkenaan turut menyambut baik penegasan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin mengenai usaha kerajaan memperluaskan pengenalan seni persilatan dalam sistem pendidikan negara, termasuk menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.
Langkah itu dilihat selari dengan matlamat membina generasi muda yang berdisiplin, berjati diri serta menghargai warisan bangsa.
Majlis Apresiasi Pendekar Negara menyaksikan penyampaian enam kategori anugerah utama sebagai penghargaan kepada penggiat seni mempertahankan diri.
Bagi Anugerah Pertubuhan Silat Terpilih, enam pertubuhan menerima insentif RM70,000 setiap satu iaitu Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong, Pertubuhan Silat Pusaka Hanafi, Sendo Martial Art (Gayong Cikgu Sazali), Awang Daud Martial Art, Gayong Makrifat (Panglima Aduka) dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Fattani Antarabangsa (Dr Aziwahija Yeop).
Anugerah Jasa Silat pula diberikan kepada lima tokoh tersohor iaitu Profesor Dr (Hc) Abd Ghapar @ Jebat Datuk Dr Raja Abd Majid, Tuan Guru Muhammad Wahab, Tuan Guru Ruzaidi (Wak Didi), Tuan Guru Shamsunputra Datuk Dr Raja Abd Majid dan Cikgu Al Jufferi Jamari, masing-masing menerima insentif RM10,000.
Bagi kategori Anugerah Ikon Tempur Anak Muda, tiga atlet Muay Thai negara iaitu Johan Ghazali (Jojo Ghazali), Aliff Rakib dan Rifdean Masdoor yang menerima insentif RM10,000 setiap seorang atas kejayaan di peringkat antarabangsa.
Anugerah Emas Sukan SEA pula diberikan kepada enam atlet negara yang menyumbang pingat emas, melibatkan atlet silat dan Muay Thai, dengan insentif RM5,000 setiap seorang.
Pengiktirafan kepada barisan jurulatih disampaikan menerusi Penghargaan Jurulatih Silat Negara kepada Mohd Fauzi Khalid, Siti Rahmah Nasir dan Nor Hamizah Abu Bakar, manakala Anugerah Duta Silat dianugerahkan kepada Eman Manan, Ebby Yus dan Beto Kusyairi atas peranan mereka mempopularkan silat melalui medium seni dan budaya.
Majlis berkenaan menandakan fasa pertama pelaksanaan inisiatif penghargaan dan pembangunan seni mempertahankan diri negara, dengan Pertubuhan Lima Generasi Malaysia komited untuk terus bekerjasama rapat bersama kerajaan dan semua pemegang taruh demi memastikan kesinambungan warisan serta kecemerlangan seni tempur Malaysia.










