RM19.2 juta disediakan untuk PSK – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan peruntukan geran sebanyak RM19.2 juta kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) seluruh negara bagi tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu sejajar dengan prinsip keterangkuman Keluarga Malaysia bagi memastikan tada mana-mana golongan terpinggir.

“Kita memang beri (peruntukan khusus) kepada orang kurang upaya (OKU), pusat OKU, warga emas dan pusat-pusat jagaan yang lain.

“Untuk kanak-kanak istimewa atau warga emas yang tidak tinggal di pusat jagaan, kerajaan juga bagi bantuan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa Insan, di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Kali ini kita memberi sedikit kelonggaran yang berbeza berbanding tahun lalu, namun SOP mesti dipatuhi dengan sentiasa memakai pelitup separuh muka dan amalkan penjarakan fizikal.

“Kita patuhi SOP bukan untuk orang lain, tetapi untuk kepentingan keluarga kita,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles