PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan wang tunai bernilai kira-kira RM170 juta yang sebelum ini disita dan dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini sah menjadi milik kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata keputusan itu dibuat selepas Ismail Sabri tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang berkenaan.
“Responden tidak membantah pelucuthakan, jadi secara rasmi wang ini kini hak kerajaan. Proses pemindahan wang ke dalam akaun kerajaan sudah dimulakan hari ini dan akan selesai dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Menurut Azam, setakat ini tiada keputusan dibuat sama ada untuk menuduh mana-mana pihak berhubung siasatan aset milik Ismail Sabri. Katanya, kertas siasatan telah lengkap dan kini terserah kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk menentukan langkah selanjutnya.
Semalam, Mahkamah Sesyen dimaklumkan bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, telah mengemukakan surat bertarikh 28 Ogos lalu menyatakan pendirian tidak akan mencabar permohonan SPRM itu.
Susulan itu, Hakim Suzana Hussin membenarkan notis warta kepada pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan terhadap wang terbabit, dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Oktober ini.
Pada 7 Julai lalu, SPRM memfailkan permohonan melucut hak wang tunai lebih RM169 juta dalam pelbagai mata wang asing yang disimpan Mohammad Anuar, dipercayai milik Ismail Sabri.
Selain wang tunai, SPRM turut merampas 16 kilogram jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta ketika operasi di beberapa lokasi yang dipercayai dijadikan tempat simpanan aset berkenaan.