RM17.4 Bil Perjanjian Pertahanan, Komersial Ditandatangani Sepanjang Lima ’23

LANGKAWI: Selain melibatkan penyertaan tertinggi pempamer tempatan dan antarabangsa, Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (Lima ’23) juga mencatatkan rekod sebagai penganjuran terbesar selepas pelbagai perjanjian pertahanan dan komersial bernilai RM17.4 bilion berjaya ditandatangani.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata LIMA ’23 percaya terdapat keperluan agar ruang di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang menempatkan pempamer aeroangkasa dan maritim diperbesarkan sebagai persediaan penganjuran LIMA pada 2025.

Untuk rekod, Lima ’23 tahun ini melibatkan seramai 525 pempamer yang terdiri daripada pemain industri pertahanan tempatan dan antarabangsa selain sektor komersial berkaitan.

“Bagi pihak kerajaan dan Kementerian Pertahanan, kita berasa bangga dengan penganjuran Lima’23 apabila disertai banyak negara dan syarikat pertahanan antarabangsa, sehingga pada saat akhir, masih pihak ada yang mahu turut serta.

“Kita juga dapat lihat peningkatan jumlah pameran statik udara dan maritim di Resort World Langkawi (RWL) selain penyertaan pasukan aerobatik dari Rusia, Korea Selatan, Indonesia, UAE dan China serta Malaysia.

“Perjanjian pertahanan dan komersial pula mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM17.4 bilion dengan pertahanan sahaja merekodkan nilai RM10.128 bilion dengan bakinya adalah komersial,” katanya pada sidang media sempena Lima ’23.

Terdahulu beliau dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyempurnakan Majlis Penutupan Lima ’23 di MIEC yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, nilai perjanjian yang ditandatangani sepanjang LIMA ’23 sepatutnya lebih besar nilainya, namun Kementerian Pertahanan memutuskan hanya projek yang sudah mempunyai Surat Pernyataan Niat (LOI) dan Surat Setuju Terima (LOA) diumumkan.

Katanya, bagi penganjuran Lima ’25 pula, pihaknya akan memberikan notis lebih awal kepada syarikat dan negara seperti Jepun, India, Turkiye, Korea Selatan dan UAE kerana mereka menjadi antara pempamer utama pada edisi kali ini.

“Penganjuran Lima sejak dahulu juga berjaya memberikan kestabilan dalam aspek pertahanan antara negara di Asia Tenggara dan Asia lain hasil kerjasama erat pasukan pertahanan serantau.

“Kerjasama ini juga penting bagi memastikan rantau Asia Tenggara kekal neutral bagi mengekalkan kestabilan sedia ada dan mengelak sebarang pertikaian,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles