KUANTAN: Sebanyak RM1.8 billion diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2023 bagi menghadapi Monsun Timur Laut di Negeri Pahang.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia melibatkan projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai.
“Bagi menghadapi monsun timur laut, sebanyak RM1.8 billion disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai, termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan. “Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera,” jelasnya.
Tambah Ismail Sabri, selain itu kos sebanyak RM6.07 juta turut diperuntukkan bagi projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di Cameron Highlands.
“Terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran,” katanya.
Selain isu banjir dan hakisan tanah, tambah Perdana Menteri, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM1.307 billion untuk menaik taraf jalan persekutuan di negeri itu.
“Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan menyenggara jalan persekutuan di Pahang, sekali gus akan membuka kawasan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
“Sebanyak RM572.8 juta juga telah diperuntukkan bagi projek-projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan Keluarga Malaysia Pahang,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Aspirasi Jelajah Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kanan Pertahanan selaku Menteri Peneraju Aspirasi Keluarga Malaysia Datuk Seri Hishamuddin Hussein.