IPOH: Raja Bomoh atau Ibrahim Mat Zin, akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini, susulan tular satu video ritual menolak musibah banjir yang dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan baru-baru ini.
Tuduhan ke atas Raja Bomoh dibuat mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.
Individu berusia 71 tahun itu turut didakwa bersama seorang individu wanita yang dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’.
Rabu lalu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.
Mengikut seksyen itu, mereka yang mempersenda akan amalan atau upacara yang berkaitan agama Islam adalah suatu kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Raja Bomoh bersama seorang wanita dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.
Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran.