Rindu Anak Dorong Jalan Kaki Balik Kelantan

Selepas melalui kesukaran dengan berjalan kaki selama tiga hari 20 jam dari Kuala Lumpur ke Kelantan, akhirnya seorang lelaki Muhamad Noor Ramlie berpeluang memeluk anak kesayangannya selepas tiba di kampung halamannya semalam.

Menurut Muhamad Noor, kerinduan terhadap anaknya telah menjadikan dia bersemangat untuk balik ke kampung meskipun terpaksa berjalan kaki.

Dalam pada itu Muhamad Noor memaklumkan dia akan menjalani ujian saringan di hospital.

“Bersiap untuk ke hospital buat saringan .. tapi semua jangan bimbang .. saya takkan jalan kaki ke hospital,” katanya menerusi entri yang dimuatnaik dalam Facebook miliknya.

Muhamad Noor menjadi viral selepas mengambil tindakan nekad untuk balik ke Tanah Merah dengan berjalan kaki kerana tidak mampu lagi menyara diri di ibu kota selepas sebulan tidak bekerja. Dia sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam serta tinggal di asrama disediakan majikan di Seksyen 7.

Disebabkan tiada tiket bas menghala ke Pantai Timur yang dijual akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka Muhamad Noor mengambil keputusan membeli tiket bas ke Gopeng, Perak dan bertolak jam 6 petang sebelum tiba jam 9 malam.

Dia mula berjalan kaki ke kampung bermula dari Pusat Transformasi Luar Bandar Gopeng, Ipoh.

Sepanjang perjalanan di Lebuhraya PLUS, dia cuba menumpang lori untuk menumpang balik, namun gagal. Namun sebaik tiba di Ipoh, ada anggota bomba yang simpati dan mahu menghantarnya sehingga ke Gerik, memandangkan kisah pemuda berkenaan sudah tular di media sosial.

Lelaki itu turut memaklumkan sebuah lori ayam dari Pulau Pinang turut membantu menumpangkannya .

Sementara itu,  menerusi akaun CT Yam, wanita itu memberitahu ahli keluarga Muhamad Noor bukan tidak mengambil peduli mengenai keadaan lelaki berkenaan sebaliknya mereka tidak mendapat pelepasan daripada polis untuk mengambil Muhamad Noor.

“Pada pihak-pihak yang komen negatif, kami ingin jelaskan kami dah berurusan dengan pihak polis untuk minta pelepasan ke sana tapi kami tidak dibenarkan bukan kami tidak amik peduli. Kami harap tiada lagi komen-komen negatif berkaitan hal ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles