Rina Jawab Dakwaan Bantuan Makanan, Keperluan Hanya Untuk Mangsa Di PPS Sahaja

SEPANG: Setiap mangsa banjir, sama ada yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) atau di luar, layak menerima bantuan makanan dan barangan keperluan yang dikumpul.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun, berkata mangsa banjir yang tidak berlindung di PPS boleh datang ke pusat berkenaan untuk mendapatkan bantuan dari kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang ramai dan syarikat korporat.

Rina turut menafikan bantuan dan sumbangan itu hanya terhad kepada

mangsa banjir di pusat berkenaan semata-mata.

Beliau menjawab satu rakaman yang tular di media sosial yang dimuat naik oleh seorang individu yang mendakwa lambakan barangan sumbangan orang ramai yang tidak dibenarkan untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang tidak berlindung di PPS.

“Ada antara mereka (mangsa banjir) ini tidak tinggal di PPS, tetapi terjejas dengan banjir dan memerlukan bantuan.

“Saya sudah arahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) walaupun kita tahu bantuan yang diberikan khusus untuk mereka yang berlindung di PPS, namun masih ada yang tidak berpindah ke PPS tetapi memerlukan bantuan,” katanya selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Warisan, hari ini.

Jelas Rina, mangsa banjir hanya perlu datang ke PPS berhampiran dan mendaftar untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

“Cuma nyatakan nama, pendaftaran hanya untuk rekod kita. Apa yang ada (di PPS) kita agih bersama,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles