Ribut Tropika Senyar Dijangka Bermula Tengah Malam Ini, Banjir Diramal Bertambah Buruk

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di beberapa negeri dijangka semakin kritikal apabila Ribut Tropika Senyar diramalkan memasuki Semenanjung Malaysia tengah malam ini, membawa hujan lebat luar biasa serta angin kencang.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, berkata kawasan yang dijangka menerima impak paling ketara ialah sempadan Perak–Selangor dan beberapa bahagian di Pahang.

Ribut itu sebelum ini melanda Indonesia sekitar jam 3.30 petang dan kini bergerak menuju Semenanjung sebelum meneruskan perjalanan ke Laut China Selatan.

Menurut beliau, jika Senyar membadai dalam tempoh 24 jam ini, ia berpotensi menjadi ribut tropika ketiga terburuk dalam sejarah negara, selepas Greg (1996) dan Vamei (2001).

Keadaan dijangka berlarutan sehingga Sabtu sebelum mula reda selepas Ahad.

“Negeri yang sudah banjir bakal berdepan situasi lebih buruk kerana paras sungai kini tepu. Ribut ini juga membawa angin kencang serta laut bergelora,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, MetMalaysia mengesan pembentukan ribut pada kedudukan Latitud 3.7° Utara dan Longitud 98.6° Timur, bergerak ke arah Timur Tenggara pada kelajuan 7 km/j.

Ia berpotensi membawa angin maksimum sehingga 65 km/j, selepas mencatat 80 km/j ketika melanda Aceh.

Jelas Mohd. Hisham, fenomena itu tercetus apabila angin monsun dari China bertembung dengan sistem tekanan rendah di utara Semenanjung, sekali gus mengaktifkan ribut tersebut.

MetMalaysia memaklumkan amaran cuaca akan dikemas kini setiap tiga jam sejak 23 November lalu bagi memastikan orang ramai menerima maklumat terkini mengenai perkembangan ribut tropika ini.

BBerkaitan

Latest articles