Ribut Sijangkang: Wanita Cedera Di Sebalik Runtuhan, 9 Pelajar Cedera

KUALA LANGAT: Seorang wanita cedera, manakala sekurang-kurangnya sembilan pelajar sekolah mengalami kecederaan ringan apabila ribut kuat melanda kawasan Sijangkang, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, kejadian melibatkan runtuhan bangunan Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang dan seorang wanita berusia 51 tahun dilaporkan terperangkap di bawah timbunan struktur bangunan.

“Mangsa berada dalam keadaan sedar ketika ditemui. Anggota bomba terus menjalankan kerja menyelamat dan akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 5.05 petang dengan kecederaan di bahagian pinggang dan paha,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, runtuhan turut menjejaskan sebuah surau sekolah berhampiran, menyebabkan tujuh hingga sembilan pelajar cedera ringan.

Semua pelajar menerima rawatan segera di lokasi oleh pasukan perubatan KKM.

Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan bumbung sekolah dan rumah penduduk diterbangkan angin kencang, menunjukkan kekuatan ribut yang melanda.

Insiden ini berlaku kurang 24 jam selepas kejadian ribut di Meru, Klang semalam, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap cuaca tidak menentu di Selangor.

BBerkaitan

Latest articles