Ribuan Orang Ditahan, Jakarta Terus Bergolak, Jokowi Masih Tidak Bersuara

Polis Republik Indonesia (POLRI) dilaporkan telah menahan seramai 3,682 orang peserta dalam protes di seluruh republik itu yang membantah terhadap Undang-Undang Cipta Kerja yang diluluskan baru-baru ini.

Mereka yang ditahan ialah pekerja, pelajar dan kumpulan anarki dipercayai kumpulan yang melakukan vandalisme dan membuat hasutan untuk mencetuskan rusuhan.

Menurut Jurucakap POLRI, Inspektor Jeneral Argo Yuwono, seramai 796 tahanan dikenal pasti sebagai kumpulan anarki dan kira-kira 1,991 adalah pelajar.

Jelasnya lagi di Jakarta, 145 penunjuk perasaan yang ditahan di seluruh negara termasuk di Sumatera Utara dan Selatan, Jakarta, Jawa Timur dan Sulawesi Selatan turut disahkan positif COVID-19 selepas ujian saringan dilakukan.

Seramai 27 penunjuk perasaan lain yang ditahan di Jakarta dan positif COVID-19 dikejarkan ke hospital kecemasan di Kemayoran, Jakarta Pusat.

Selain itu, 129 peserta perhimpunan dan orang awam di Jakarta yang cedera semasa tunjuk perasaan dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Tunjuk perasaan yang berlaku di seluruh negara juga dikatakan berubah menjadi ganas di beberapa bahagian negara itu.

Aktivis dan pengkritik mengecam tindakan melampau anggota polis dalam menangani demonstrasi dengan mengatakan pasukan itu harus melindungi hak rakyat terhadap kebebasan bersuara.

Dikhabarkan ibu negara Indonesia itu terus bergolak ekoran bantahan berkenaan yang menyebabkan ribuan pekerja dan pelajar memenuhi jalan-jalan utama sekitar Jakarta.

Penunjuk perasaan turut menjadikan Istana Presiden dan Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta Pusat sasaran protes mereka.

Presiden Indonesia, Joko Widodo dikatakan tidak berada di Istana Presiden kerana sedang dalam lawatan di Palangkaraya, Kalimantan Tengah.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,873FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini