Home BERITA Renjatan Elektrik Punca Noh Meludah Ke Lantai

Renjatan Elektrik Punca Noh Meludah Ke Lantai

KUALA LUMPUR: Selepas tular beberapa video memaparkan aksi penyanyi, Noh Salleh meludah di pentas Konsert Hausboom Music 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, kelmarin, pengurus kumpulan Hujan, Ahmad Ariffin Ahmad tampil menjawab isu berkenaan.

Laporan BH menyebut bahawa aksi yang dikritik ramai pihak itu berlaku akibat renjatan elektrik daripada mikrofon yang digunakan Noh yamb menyentuh wajah dibasahi peluh hingga membuatkan mulut penyanyi itu kebas.

“Noh sepatutnya tampil dengan gitar. Namun, disebabkan masalah teknikal, dia terpaksa menyanyi tanpa memetik gitar.

“Pada masa sama, mikrofon dipegang mengalami masalah. Ketika meletakkan mikrofon berhampiran mulutnya, Noh terkena sedikit renjatan elektrik.

“Ini terhasil kerana wajahnya dibasahi peluh dan air menyebabkan mulutnya kebas. Bagi mengalih rasa sakit, Noh secara spontan meludah di atas pentas.

“Dakwaan konon Noh meludah ke arah penonton tidak benar. Sebaliknya, dia meludah atas pentas.

“Jarak antara pentas dan penonton juga kerana dipisahkan besi penghadang, jadi tidak mungkin (ludah) terkena penonton.

“Jika Noh ludah ke atas, mungkin tempias air liur kena kepada penonton. Sebab itu, Noh tunduk.

“Namun, jika ada yang terkena tempias ludah Noh, kami mohon maaf kerana perkara itu tidak disengajakan,” dakwanya kepada BH Online.

Aksi Noh mengejutkan peminat yang tertanya-tanya mengapa bekas suami usahawan dan aktivis masyarakat, Mizz Nina menunjukkan gelagat sedemikian.

Malah vokalis Hujan itu juha pernah menimbulkan kekecohan apabila tampil dengan sebatang rokok di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW).

Ipin berkata, suasana pada konsert itu panas hingga berlengas.

“Sebelum naik ke pentas, kita sudah buat (kemaskan) rambut Noh. Tetapi dengan 13,000 penonton dan dewan yang panas seperti sauna dan berlengas, tidak mungkin Noh dapat kekalkan imej itu.

“Biar apapun, kami berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan sentiasa ingin tahu perkembangan Noh serta mendoakan kesejahteraannya.

“Mungkin Noh tampak serabut kerana kami sedang membuat persiapan Konsert Hujan Rumah Kita pada 5 November depan,” katanya.

Ipin berharap orang ramai tidak membuat telahan dan tuduhan bukan-bukan terhadap Noh hanya atas rakaman video viral itu.

NO COMMENTS

Exit mobile version