CYBERJAYA: Mahkamah Majistret Sepang hari ini membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman terhadap tiga suspek yang disiasat berhubung kes pembunuhan seorang pelajar universiti swasta, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, perintah lanjutan reman itu berkuat kuasa mulai 4 hingga 10 Julai bagi membolehkan siasatan diteruskan.
“Siasatan masih berjalan,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mangsa, Maniishapriet Kaur, 20, pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi berasal dari Sarawak, ditemui mati dalam kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan pada jam 10 pagi, 24 Jun lalu.
Difahamkan, mangsa tinggal seorang diri untuk menghadapi peperiksaan selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun.
Terdahulu, polis berjaya menahan tiga individu termasuk dua wanita yang dipercayai kenalan mangsa dalam tempoh kurang 48 jam selepas laporan polis dibuat.
Ketiga-tiga mereka diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Gemencheh, Negeri Sembilan.