HULU SELANGOR: Tempoh reman seorang penganggur yang disyaki mencabul serta memukul seorang kanak-kanak perempuan di Bukit Sentosa, disambung selama tiga hari lagi bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin mengesahkan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu membenarkan lanjutan reman terhadap suspek berusia 23 tahun itu sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Mahkamah membenarkan permohonan pihak polis untuk menyambung tempoh reman selama tiga hari lagi,” katanya.
Menurut beliau, suspek ditahan pada 29 Januari lalu selepas dipercayai memukul dan mencabul seorang kanak-kanak bawah umur di sebuah rumah di Bukit Sentosa.
Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa sedang berjalan bersama kakak dan abangnya menuju ke pasar malam melalui Jalan Bakawali sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang kemudian menarik mangsa masuk ke dalam rumahnya.
Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah, namun semakan rekod jenayah awal menunjukkan lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Sebelum ini, suspek direman selama tiga hari dan tempoh tersebut berakhir hari ini sebelum mahkamah membenarkan lanjutan reman sehingga Khamis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau sebatan atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, hukuman penjara boleh mencecah sehingga 20 tahun serta sebatan.










