Reman Disambung Kerana Percanggahan Keterangan Antara Ibu, Bapa Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR: Tindakan melanjutkan tempoh reman buat ibu bapa ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin adalah kerana keterangan mereka dan saksi lain yang tidak sepadan.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, sehubungan itu pasukan siasatan akan menggunakan tempoh reman yang diluluskan mahkamah majistret semalam untuk melengkapkan siasatan secara terperinci.

“Polis sedang menjalankan berbagai usaha dalam melengkapkan siasatan. Ada perkara perkara yang perlu disemak semula, ada perkara perkara yang tidak selari ataupun tidak konsisten daripada keterangan-keterangan daripada saksi dan ibu bapa,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Taman Angkat Kontinjen Selangor di SK Taman Rakan, hari ini.

Jelas beliau, siasatan fasa pertama telah selesai ketika tempoh reman selama tujuh hari sebelum ini.

“kita telah selesai soal siasatan fasa pertama dan ada perkara kita kena counter check,” ujarnya.

Tambah Hussein, tindakan selanjutnya akan ditentukan berdasarkan perkembangan siasatan polis.

“Lain-lain perkara sama ada kita perlu (keterangan sesiapa) atau tangkap sesiapa, itu bergantung siasatan dalam tempoh ini, dalam tujuh hari setakat kita panggil tiga orang beri keterangan,” katanya lagi.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada semalam menyambung reman ibu bapa kanak-kanak autisme yang ditemui maut di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada Disember lalu untuk enam hari lagi.

Pasangan tersebut direman selama tujuh hari pada 1 Jun lalu dan tiga individu termasuk bekas pengasuh kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

BBerkaitan

Latest articles