KUALA LUMPUR: Tempoh reman seorang lelaki yang menikam anak lelakinya berusia 11 tahun awal bulan ini disambung selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, sambungan reman itu bermula semalam sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu cubaan membunuh, diteruskan.
“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan sudah sedarkan diri. Namun dia masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya seperti dipetik oleh Harian Metro.
Kejadian menyayat hati itu mengejutkan penduduk setempat apabila mangsa cedera parah selepas ditikam dua kali di bahagian dada dan perut menggunakan pisau pemotong sayur, dipercayai oleh bapa kandungnya sendiri.
Difahamkan, suspek mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan sedang menerima rawatan psikiatri sejak tahun 2008.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kejadian berpunca daripada tekanan akibat krisis rumah tangga yang dihadapi suspek, yang kini dalam proses penceraian dengan isterinya buat kali ketiga.
Kes perceraian pasangan itu dijadualkan disebut di Mahkamah Syariah Tumpat pada 13 Mei ini.