KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan perintah reman dua hari terhadap aktivis kempen membantah kuil tidak sah, Tamim Dahri bersama tiga individu lain, sekali gus mengarahkan mereka dibebaskan serta-merta.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan terhadap perintah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Selayang pada sebelah pagi.
Peguam mereka, Aidil Khalid, memaklumkan perkembangan tersebut menerusi hantaran di Facebook dengan menyifatkan keputusan itu sebagai satu kelegaan buat anak guamnya.
“Mahkamah Tinggi telah membatalkan perintah reman dua hari yang diberikan pagi tadi. Tamim Dahri dan tiga rakannya diperintahkan dilepaskan serta-merta,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Selayang membenarkan reman selama dua hari bermula dari tarikh tangkapan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah susulan perobohan sebuah kuil di Taman Rawang Perdana, awal pagi semalam.
Tamim dan tiga lagi individu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat), Seksyen 504 (menghina dengan niat mencetuskan pecah keamanan) serta Seksyen 295 (mencemarkan tempat ibadat).
Dalam hujahan sebelum ini, pihak pembelaan menegaskan kesemua mereka memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tampil menyerah diri secara sukarela, justeru tiada keperluan untuk dikenakan perintah reman.










