BENTONG: Kehilangan seorang pelajar Tingkatan 4, Loh Zhong Kit, 16, selepas tamat sesi persekolahan berakhir dengan penemuan tragis apabila remaja itu ditemui meninggal dunia di kawasan Bukit Desa Damai, pada 9 Disember lalu.
Kehilangan Zhong Kit mula disedari keluarganya apabila remaja itu tidak pulang ke rumah dan panggilan telefon tidak dijawab.
Ibunya, Jessica Ashi, kemudian membuat laporan polis sebelum operasi pencarian digerakkan.
Tidak lama selepas itu, orang awam menemui sebuah motosikal yang dipercayai milik mangsa ditinggalkan di kawasan pendakian popular berkenaan.
Berikutan penemuan itu, pasukan bomba dan penyelamat memperluaskan pencarian hingga ke kawasan puncak bukit sebelum menemui mayat remaja berkenaan berhampiran tiang pencawang elektrik.
Sumber turut memaklumkan bahawa mangsa dijumpai dengan sekeping nota, namun kandungannya tidak didedahkan.
Pemergian Zhong Kit memberi tamparan hebat kepada keluarganya, terutama ibu mangsa yang meluahkan kesedihan mendalam di media sosial.
Dalam perkongsian di Facebook, Jessica menulis bahawa masa bersama anaknya terlalu singkat dan kehilangan itu meninggalkan kekosongan besar dalam hidup mereka sekeluarga.










