KUALA LUMPUR: Polis kini giat mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu di Taman Ehsan, Kepong.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan kehilangan remaja terbabit dibuat oleh datuknya selepas cucunya gagal ditemui walaupun dihantar ke sekolah seperti biasa.
Menurut beliau, datuk mangsa menghantar remaja itu ke sebuah sekolah menengah di kawasan berkenaan sekitar jam 7 pagi dan melihat sendiri cucunya masuk ke dalam kawasan sekolah.
“Namun sekitar jam 12.30 tengah hari, datuk mangsa datang semula untuk menjemput cucunya tetapi sehingga jam 1.30 petang, remaja tersebut tidak kelihatan keluar dari kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Bimbang dengan keadaan cucunya, datuk mangsa kemudian menghubungi guru kelas untuk mendapatkan kepastian, namun diberitahu bahawa remaja itu tidak hadir ke sekolah pada hari kejadian.
“Ekoran kegusaran terhadap keselamatan cucunya, datuk mangsa terus membuat laporan polis. Kes kini disiasat sebagai kes orang hilang (OH),” jelas Noor Ariffin.
Menurut beliau, usaha mengesan remaja berkenaan sedang giat dijalankan dan pihak penyiasat turut berhubung rapat dengan keluarga mangsa bagi mendapatkan sebarang perkembangan terkini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat remaja terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.