PAKISTAN: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut selepas ditembak oleh bapanya sendiri dalam kejadian di Quetta, Pakistan, pada Selasa.
Pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek terhadap kandungan TikTok yang dihasilkan oleh mangsa.
Suspek, Anwar ul-Haq, pada mulanya mendakwa anak perempuannya ditembak oleh individu tidak dikenali sebelum akhirnya mengaku melakukan jenayah tersebut.
Susulan pengakuan itu, polis telah mendakwanya atas tuduhan membunuh, manakala abang iparnya turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut pegawai polis Babar Baloch, siasatan awal mendapati keluarga itu tidak bersetuju dengan gaya hidup, cara berpakaian, dan pergaulan sosial mangsa, yang dilahirkan di Amerika Syarikat.
Difahamkan, Kedutaan AS masih belum dimaklumkan mengenai kejadian ini.
Penyiasat polis Zohaib Mohsin memaklumkan bahawa telefon bimbit mangsa telah dirampas dan siasatan kini turut meneliti kemungkinan kes ini berkaitan pembunuhan demi kehormatan.
Keluarga tersebut baru sahaja kembali ke wilayah Balochistan selepas menetap di Amerika Syarikat selama kira-kira 25 tahun.
Suspek, yang merupakan warganegara AS, memberitahu polis bahawa anaknya mula memuat naik kandungan TikTok yang dianggapnya “tidak senonoh” sejak berada di AS dan meneruskan aktiviti itu selepas kembali ke Pakistan.
Pakistan, dengan populasi seramai 241 juta orang, mempunyai lebih 54 juta pengguna TikTok.
Aplikasi tersebut telah beberapa kali disekat oleh kerajaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini atas alasan kawalan kandungan.
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan, lebih 1,000 wanita dibunuh setiap tahun di negara itu oleh ahli keluarga atau anggota komuniti atas alasan menjaga maruah dan kehormatan.