Remaja Parah Ditikam Akibat Hutang Lama, Suspek Miliki 9 Rekod Jenayah

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun parah selepas ditikam oleh kenalannya sendiri dalam satu pergaduhan berpunca daripada hutang lama di Jalan Sum 1, Kampung Paya Sum, Sungai Udang, awal pagi Jumaat lalu.

Kejadian berlaku sekitar 3.50 pagi, mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah akibat tikaman dan terpaksa dikejarkan ke Zon Merah, Hospital Melaka untuk rawatan segera.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, kejadian berlaku selepas berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek berusia 23 tahun, yang juga dikenal pasti sebagai kenalan mangsa.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan antara kedua-dua lelaki ini tercetus akibat isu hutang lama. Suspek dipercayai menikam mangsa ketika pergaduhan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek turut mengalami kecederaan semasa bergelut dan menerima rawatan di Zon Kuning hospital sama.

Kata Christopher, laporan awal yang dibuat mendakwa mangsa diserang dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal.

Namun, siasatan lanjut mendapati ia bukan kes samun, sebaliknya perbalahan peribadi antara kedua-dua individu terbabit.

“Hasil soal siasat terhadap mangsa mendapati dia sebenarnya mengenali suspek dan tiada unsur rompakan seperti dilaporkan sebelum ini.”

Unit D7 dan D9 dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Taman Pahlawan, Sungai Udang pada 6.15 petang hari yang sama.

“Semakan mendapati suspek yang beralamat di Batu Pahat, Johor, mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan aktiviti perjudian,” ujar Christopher.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, pihak polis menggesa orang ramai agar tidak menyelesaikan konflik secara kekerasan, sebaliknya menggunakan saluran yang betul seperti perbincangan atau bantuan pihak berkuasa.

“Pertikaian peribadi, lebih-lebih lagi yang melibatkan hutang, tidak wajar diselesaikan dengan keganasan yang boleh membawa akibat lebih buruk,” tambah beliau.

BBerkaitan

Latest articles