Remaja Mengaku Tak Bersalah Bunuh Rakan Sekolah Dalam Tandas

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini merekodkan pengakuan tidak bersalah seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan di tandas sebuah sekolah menengah di Damansara Utama, Oktober tahun lalu.

Tertuduh yang hanya dikenali sebagai ‘L’ membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Adlin Abdul dalam prosiding tertutup, memandangkan kes tersebut melibatkan pesalah juvana.

Difahamkan, pengakuan berkenaan dibuat dalam bahasa Mandarin.

Ini merupakan kali pertama remaja terbabit mengemukakan pengakuannya selepas sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Oktober tahun lalu.

Sepanjang prosiding berlangsung, hanya ahli keluarga tertuduh dibenarkan berada di dalam bilik bicara selaras dengan peruntukan undang-undang bagi kes melibatkan individu bawah umur.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Mac depan sebagai tarikh sebutan dan pengurusan kes seterusnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz dan Zamriah Zarifah Aris, manakala tertuduh diwakili peguam, Kitson Foong.

Menurut Kitson, perbicaraan dijangka bermula pada Julai depan, dengan tarikh-tarikh perbicaraan akan ditetapkan semasa pengurusan kes akan datang.

Katanya, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di mahkamah, anak guamnya terus menafikan dakwaan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, pelajar Tingkatan 1 (Peralihan) itu didakwa menyebabkan kematian mangsa yang berusia 16 tahun di tandas perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, bagi pesalah juvana, mahkamah mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman alternatif termasuk penjara sehingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemui dalam keadaan cedera parah di tandas sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Polis menahan suspek pada hari sama kejadian dan merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

Dalam satu sidang media terdahulu, ibu mangsa mendakwa anaknya ditikam lebih 200 kali, sekali gus menjadikan tragedi itu antara kes serangan di sekolah yang paling mengejutkan pernah dilaporkan di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles