KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penemuan seorang remaja perempuan yang hilang sejak Rabu lalu, di rumah nenek teman lelakinya di Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin, Kluang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kehilangan itu dirungkai apabila ibu remaja tersebut, Norita Kasmin membuat laporan penemuan semula Nur Fakhira Dania Zahir, 14, pada pukul 10 malam semalam.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati teman lelakinya menyembunyikan remaja perempuan itu di sebuah rumah di Jalan Kiara, Kampung Dato Abdul Rahman Yassin.
“Remaja berkenaan menyatakan telah keluar dengan teman lelakinya pada malam kejadian dan memberitahu mahu lari dari rumah.
“Susulan itu, lelaki itu membawa ke rumah neneknya di kampung berkenaan dan tinggal selama kira-kira seminggu,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, pemeriksaan awal mendapati remaja perempuan berkenaan ditemui dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.
Terdahulu tular penemuan remaja tersebut bersama-sama seorang wanita tua yang sudah bertongkat di kaki Gunung Lambak.