KUALA LUMPUR: Polis mendedahkan remaja perempuan berusia 16 tahun yang diculik di Seremban, Negeri Sembilan pada 10 April lalu telah disorokkan dalam sebuah bagasi sebelum dilarikan penjenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berjalan seorang diri menuju ke sebuah kedai serbaneka di Uptown Avenue, Seremban 2 selepas mengunjungi sebuah salun bersama ibunya.
“Ketika dalam perjalanan ke kedai serbaneka, mangsa telah diculik oleh dua lelaki dan dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan sebelum dibawa lari. Mangsa disorokkan dalam bagasi bagi mengelakkan dikesan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Tambah beliau, ibu mangsa segera menghubungi datuk remaja itu yang kemudian membuat laporan polis.
Keesokan harinya, suspek menghubungi ibu mangsa dan menuntut wang tebusan sebanyak RM2 juta.
Keluarga mangsa membayar RM280,000 selain menyerahkan beberapa barangan emas pada 11 April.
Hasil siasatan, polis berjaya menahan enam suspek warga tempatan berusia 20 hingga 31 tahun, terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita.
Polis turut merampas beberapa telefon bimbit, alat pengesan logam, serta memperoleh semula RM180,000 wang tebusan.
“Siasatan awal mendapati kes ini dipercayai didalangi oleh seorang wanita daripada kumpulan suspek tersebut. Polis kini sedang memburu seorang lagi lelaki yang masih bebas,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.