KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki yang disyaki terbabit dalam kes cubaan mencabul seorang kanak-kanak perempuan di masjid di Batang Kali, Selangor semalam, direman seminggu bermula pada hari ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tempoh tahanan reman terhadap lelaki tempatan berumur 19 tahun itu diperoleh di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak mengenali mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Berhubung dakwaan lelaki terbabit memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU), Hussein berkata pihaknya belum mendapat pengesahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berkaitan perkara itu.
Semalam, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak dari arah belakang ketika sedang bersujud dan melarikan mangsa tanpa disedari jemaah lain.
Lelaki itu juga dilihat bergelut untuk cuba mencabul mangsa sebelum melarikan diri selepas mangsa melawan.
Susulan kejadian itu, lelaki terbabit ditahan di kediamannya yang terletak kira-kira satu kilometer dari masjid terbabit pada 10 pagi semalam. – BERNAMA