Remaja 17 Tahun Mengaku Tak Salah Memandu Secara Bahaya, Sebabkan Kematian 3 Pelajar

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian tiga remaja dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Persiaran Senawang 1, bulan lalu.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah, menurut laporan Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, remaja itu yang memandu kereta jenis Honda Jazz didakwa memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian tiga mangsa, iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 26(1) akta sama atas kesalahan memandu tanpa lesen, yang membawa hukuman denda antara RM300 hingga RM2,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, P. Rubini mencadangkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Namun, peguam Johan Radzi yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan tiga pelajar sekolah menengah maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights, Jalan Persiaran Senawang 1.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu tertuduh bersama seorang penumpang dari arah Senawang menuju Paroi gagal berhenti di lampu isyarat merah, lalu melanggar dua buah motosikal, satu daripadanya jenis Modenas Kriss dan satu lagi Honda Vario yang dinaiki mangsa dan rakan mereka.

BBerkaitan

Latest articles