JEMPOL: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis selepas disyaki mencuri dua peket sos lada hitam dan dua peket mayonis bernilai kira-kira RM41 dari sebuah pasar raya di Bandar Seri Jempol, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam apabila pengawal keselamatan pasar raya itu mengesan remaja terbabit kerap keluar masuk premis dalam keadaan mencurigakan sambil membawa beg sandang.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua peket sos lada hitam dan dua peket mayonis dalam begnya yang belum dibayar.
“Suspek kemudiannya ditahan pengawal keselamatan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, keadaan bertukar tegang apabila sepasang suami isteri yang mengaku ibu bapa remaja itu tiba di lokasi dan mendesak agar anak mereka dilepaskan.
“Berlaku pergelutan antara pasangan tersebut dengan pengawal keselamatan sebelum mereka melarikan diri menaiki sebuah Toyota Avanza,” jelas Norhisham.
Susulan kejadian, polis berjaya menahan remaja berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Siasatan awal mendapati dia masih bersekolah dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapannya dirakam.
Menurut Norhisham, kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.