KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju dengan cadangan dasar pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun sebagai langkah penting bagi memperkukuh prinsip akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berteraskan Perlembagaan Persekutuan di bawah agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jemaah Menteri semalam selepas penelitian menyeluruh dibuat terhadap input dasar, pandangan awam serta syor yang dikemukakan menerusi sesi libat urus holistik dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
“Cadangan pengehadan tempoh jawatan ini bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara, selaras dengan amalan demokrasi matang pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Azalina berkata kerajaan akan melaksanakan beberapa pindaan yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada sidang kali ini.
Pada 5 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri berkata rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh, antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.
Pada Mac tahun lepas, Anwar semasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet mengarahkan agar cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dikaji secara teliti dan mendalam. – BERNAMA










