Reformasi Fiskal MADANI: SST Diperluas, Subsidi Disasar Demi Masa Depan Kewangan Negara

KUALA LUMPUR: Langkah reformasi fiskal yang digerakkan Kerajaan MADANI kini menjadi tunjang utama dalam usaha menjamin kemampanan kewangan negara tanpa meminggirkan perlindungan sosial untuk golongan rentan.

Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, antara inisiatif kritikal yang sedang dilaksanakan termasuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi tenaga, dalam usaha menurunkan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus dan mengehadkan nisbah hutang negara kepada KDNK pada kadar 60 peratus.

“Apabila Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran, kedudukan fiskal negara berada dalam keadaan tidak mampan. Justeru, kami memperkenalkan rangka kerja reformasi fiskal termasuk Akta Tanggungjawab Fiskal bagi menyediakan panduan jelas serta pendekatan berperingkat mengurangkan defisit,” katanya dalam sesi Fireside Chat 3: Social Safety Nets – Securing the Future sempena Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia hari ini.

Johan menjelaskan bahawa peluasan SST bukan bertujuan meningkatkan hasil semata-mata, tetapi turut mencerminkan semangat perlindungan sosial, seperti yang sering ditegaskan oleh Perdana Menteri.

Beliau turut menyatakan bahawa kadar cukai kepada KDNK di Malaysia kini hanya sekitar 12.5 peratus, antara yang paling rendah di rantau ini, sekali gus mendorong kerajaan memperluas asas cukai secara berhemah.

“Pelaksanaan SST dilakukan secara progresif, dengan memastikan barangan keperluan asas tidak dikenakan cukai tambahan agar tidak membebankan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, defisit fiskal negara berjaya dikurangkan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.3 peratus tahun ini, dan dijangka turun lagi kepada 3.8 peratus menjelang 2025.

Ini dicapai melalui pelbagai langkah termasuk peralihan daripada rundingan terus kepada sistem tender terbuka, yang telah mengurangkan ketirisan dalam projek-projek awam seperti pembinaan sekolah dan hospital.

Mengulas isu subsidi bahan api, Johan menegaskan bahawa menaikkan harga bahan api secara menyeluruh dan menggantikannya dengan bantuan tunai bukan langkah sesuai bagi Malaysia, memandangkan ramai rakyat tinggal jauh dari bandar dan bergantung kepada penggunaan kenderaan.

Sebaliknya, kerajaan melaksanakan pendekatan rasionalisasi subsidi secara bersasar, contohnya dengan mengurangkan subsidi kepada pengguna elektrik intensif dan syarikat besar, manakala 80 peratus isi rumah kekal menikmati tarif subsidi.

“Langkah sama turut dilaksanakan ke atas diesel, di mana syarikat logistik masih menikmati harga bersubsidi bagi mengekalkan kos penghantaran dan harga barangan,” ujarnya.

Johan turut memaklumkan bahawa kerajaan menggunakan pelbagai sumber data seperti LHDN, KWSP dan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan tunai disalurkan tepat kepada yang benar-benar memerlukan.

“Kita akui cabaran dari segi ketepatan sasaran, namun bantuan bersasar memberi impak lebih besar berbanding pendekatan universal dalam keadaan fiskal yang mencabar,” jelasnya.

Turut disentuh dalam sesi itu adalah isu penuaan penduduk.

Johan memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti mekanisme dasar termasuk kemungkinan meningkatkan umur persaraan, menstruktur semula sistem kesihatan, dan memperkasa infrastruktur mesra warga emas.

“Kita bukan hanya bercakap tentang pencen, tetapi keperluan penjagaan kesihatan dan keseimbangan antara peluang pekerjaan untuk warga emas dan belia,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles