KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perjuangan reformasi yang dibawa sejak sekian lama bukan bertujuan mengangkat mana-mana individu, sebaliknya menuntut perubahan menyeluruh terhadap sistem pentadbiran negara agar menjadi lebih adil, telus dan berintegriti demi kepentingan rakyat.
Menurut beliau, jawatan dan kedudukan yang disandang hari ini adalah hasil pengorbanan panjang rakan seperjuangan yang tetap setia walaupun berdepan tekanan, air mata dan keletihan sepanjang perjuangan tersebut.
Berucap pada majlis Hari Keluarga dan Rapat Reformasi Kebangsaan hari ini, Anwar berkata, kepimpinan negara akan sentiasa silih berganti, namun tuntutan sebenar reformasi adalah memperbetulkan sistem agar keadilan dapat ditegakkan tanpa mengira siapa yang memerintah.
Dalam mengulas landskap politik semasa, beliau mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak memiliki majoriti mutlak, justeru memerlukan pendekatan yang matang, berhemah serta berpaksikan rundingan dan musyawarah antara parti-parti gabungan.
Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus menolak rasuah, penyelewengan dan keangkuhan kuasa, walaupun usaha itu bukan mudah dan sering mendapat tentangan daripada pihak yang selesa dengan amalan lama.
Katanya, kuasa yang diamanahkan kepada kerajaan hari ini perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab, kebijaksanaan dan ketegasan, khususnya dalam memulihkan kebebasan institusi negara.
“Mereka yang terbiasa dengan rasuah dan campur tangan terhadap institusi kehakiman tidak akan mudah menerima perubahan, namun reformasi mesti diteruskan,” tegas beliau.










