Razman Mohon Maaf Akui Terkhilaf Kaitkan Hannah Yeoh Dengan Pengasas YTL

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria mengakui terkhilaf berhubung dakwaannya bahawa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Yeoh konglomerat YTL Corporation Bhd.

Ketua pembangkang DUN Perak itu menyatakan kekesalan dan memohon maaf kepada Yeoh, dan kumpulan YTL berhubung kenyataannya itu.

“Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL. Ia kesilapan kata-kata yang berlaku tanpa sengaja.

“Dengan kenytaan ini saya menyatakan kekesalan dan pernytaaan maaf kepada YB Hannah Yeoh dan YTL serta mana-mana pihak yang terkesan atau tersentuh dengan kenytaan atas kekeliruan fakta tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Adun Gunung Semanggol itu turut mendakwa laporan media berkait isu terbabit hanya mengambil kira 10 saat daripada 30 minit daripada ceramahnya, semalam.

“Saya juga sedikit kecewa berkaitan pemberitaan yang seperti sengaja mencari kesilapan dengan hanya melaporkan kesilapan tersebut tanpa mengulas ucapan dan isu lain selain kejayaan program tiga hari tersebut,” katanya.

Razman dalam ceramah malam tadi mendakwa pemimpin DAP itu sebagai “anak YTL”.

Hannah bagaimanapun membidas semula Razman.

“PAS perlu tahu bahawa tidak semua (nama) Yeoh mempunyai kaitan,” kata pemimpin DAP itu.

YTL diasaskan mendiang Yeoh Tiong Lay sebagai sebuah syarikat pembinaan kecil. Sejak itu ia telah menjadi salah satu konglomerat terbesar di Malaysia yang terlibat dalam utiliti, hotel dan pembangunan hartanah.

Anak lelaki Tiong Lay, Francis, kini merupakan pengerusi eksekutif Kumpulan YTL.

Kenyataan Razman berkait Hannah itu menyusul selepas Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad dari PAS didapati bersalah memfitnah veteran DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.

Pada 11 Disember lalu, Razman turut memohon maaf kepada Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan menteri itu dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan, dua bulan sebelumnya.

BBerkaitan

Latest articles