Razlan Tepis Dakwaan Annuar Musa Bahawa Ahli Parlimen BN Akan Alih Sokongan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Razlan Rafii membidas dan menafikan dakwaan Ahli Jawatankuasa PAS Annuar Musa bahawa 11 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan mengalihkan sokongan sekali gus menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Katanya dakwaan bekas pemimpin Umno itu tidak mempunyai asas dan hanya cuba mengganggu akar umbi parti yang kini kembali utuh.

“Annuar Musa dari dulu hingga kini terus memainkan dakwaan tak benar…itu (11 Ahli Parlimen BN lompat) tipu dan dusta belaka.

“Dia sengaja cipta pelbagai agenda sebab kita tahu dia dah tak ada sokongan di peringkat akar umbi dan negara,” katanya selepas merasmikan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Ketereh hari ini.

@therakyatinsightDakwaan Annuar Musa tidak mempunyai fakta – Razlan

♬ original sound – The Rakyat Insight

Mengulas lanjut, Razlan berkata Umno kini dalam keadaan terbaiknya untuk kembali kuat, ditambah mesyuarat Umno bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara ketika ini mendapat sokongan jitu akar umbi.

Semalam, Annuar, bekas Ahli Parlimen Ketereh mendakwa 11 wakil rakyat BN akan mengisytiharkan sokongan kepada calon perdana menteri baharu jika Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah.

Hari ini, beliau mendakwa langkah itu juga akan diikuti oleh Ahli Parlimen daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan yang kini bersama kerajaan perpaduan, selain disokong wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim terdiri Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Anwar.

Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Isnin lalu, Johari mengesahkan sudah menerima notis kekosongan kerusi oleh Bersatu dan akan membuat keputusan dalam tempoh 21 hari berhubung nasib enam Ahli Parlimen terbabit.

BBerkaitan

Latest articles