Razarudin Ganti Acryl Sani Sebagai Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid akan dilantik sebagai Ketua Polis Negara selama dua tahun berkuatkuasa mulai 23 Jun 2023 sehingga 22 Jun 2025.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan berkata, pelantikan itu dibuat setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri.

Razarudin menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang memilih untuk bersara awal.

“Pelantikan itu selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan dan atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis dengan pelantikan kontrak selama dua tahun.

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sedikit latar belakang mengenai Razarudin, beliau dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.

Beliau memulakan tugas sebagai Pegawai Penyiasat pada 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah.

Beliau kekal di jabatan yang sama sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Muar, Johor.

Razarudin kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada 1997.

Pada tahun 1998 beliau kembali bertugas di
JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan
yang sama di Kontinjen Johor.

Pada tahun 2000, beliau meneruskan
khidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang
sebelum menyambung pelajaran di Maktab PDRM Cheras.

Kemudian
beliau ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat
ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan
sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan
berkhidmat selama tiga (3) tahun di situ.

Beliau kembali ke JSJ Bukit
Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden dan
menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.

Sekembalinya
dari belajar, beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis
(ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit
Aman.

Setelah itu beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Kanan
Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan
Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad
Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ke
Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.

Beliau dinaikkan pangkat
ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya
Polis Sabah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu, seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis
dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak.

Kemudian beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
Bukit Aman selama setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua
Polis Negara mulai tahun 2021 sehingga kini.

BBerkaitan

Latest articles